Friday, 14 October 2011

BUKU YANG MESTI ANDA BELI !!!!!


Mereka dapat menghancurkan kebahagiaan dan segala-galanya yang anda miliki. Bacaan wajib untuk sesiapa yang prihatin kepada diri sendiri, anak-anak, dan keluarga mereka. Anda mampu menghalangnya.

Economic Hit Man atau Penyangak Ekonomi adalah golongan profesional yang dibayar gaji lumayan bagi menipu dan menjatuhkan ekonomi sesebuah negara.

Mereka datang membawa duit dan dengan baik hatinya memberi pinjam kepada kita. Sebaik sahaja kita menerima duit itu, jadilah kita sebagai hamba abdinya. Segala-galanya dikawal oleh mereka. Dan kini, salah seorang daripada mereka mendedahkan konspirasi ini di dalam buku yang sedang dipegang oleh anda.

Banyak negara sudah ditipu hampir bertrilion-trilion ringgit dan kini menjadi boneka yang dikawal sepenuhnya oleh Amerika. Senjata para penyangak ekonomi ini adalah laporan kewangan palsu, manipulasi pilihan raya, ugutan, habuan seks, malah hingga ke peringkat sanggup membunuh.

Mereka meyakinkan negara-negara yang strategik dan ada kepentingan kepada Amerika supaya menerima pinjaman bagi membangunkan projek-projek negara. Mereka memastikan projek-projek mega yang mewah semuanya diberi kontrak kepada Amerika.

Pengakuan berani seorang penyangak ekonomi yang mendedahkan rancangan Amerika menguasai ekonomi dunia secara terperinci.

Membongkar rahsia bagaimana Amerika berubah daripada negara yang dihormati menjadi sebuah empayar yang digeruni.

Buku bestseller yang penuh kontroversi!!!!




"Jangan risau, ayah. Kalau ayah dibunuh kerana menulis buku ini, saya akan menyambung usaha ayah." Seorang penulis diugut dan diancam bunuh jika menulis buku ini. Pasti ada rahsia besar yang mahu disembunyikan. Apakah rahsia itu? Buku kontroversi, Rahsia Pembunuh Ekonomi Dunia akan membongkarkan rahsianya. Akan terbit pada hujung Oktober ini.

Harga: RM 30.00 / RM 33.00
ISBN-13: 978-967-369-128-9
Tarikh Terbit: 31 Oct 2011
Jumlah Muka Surat : 336
Kategori: Bisnes & Pengurusan
Penerbit: PTS Professional Publishing Sdn Bhd

http://pts.com.my/index.php/buku/rah/ ( SILA COPY UTK MAKLUMAT LANJUT)

BUAT ANDA YANG DAHAGAKAN ILMU EKONOMI SEBENAR...MARI DAPATKAN SEBELUM TERLAMBAT.....

Thursday, 13 October 2011

AMARAN KERAS DARI SOROS !!!!!!!

SOROS BERI AMARAN ISU HUTANG EROPAH



Ahli pelaburan Global, George Soros dan kira2 100 bekas pegawai kanan Eropah semalam menyiarkan surat amaran secara terbuka yg menyatakan bahawa krisis hutang Zon Eropah bolih menggugat sistem kewangan dunia.

"Euro adalah jauh daripada sempurna," kata mereka yang dilaporkan oleh akhbar harian Jerman, Handelsblatt.

Maklumat lanjut bolih dipetik dr akhbar Berita Harian bertarikh 13 Oktober 2011.

Sunday, 2 October 2011

KRISIS GREECE....ANCAM DUNIA.....


Rakyat Greece membakar salinan notis cukai kecemasan kerana marah dengan keadaaan ekonomi negara itu yang semakin meruncing





GREECE terjerumus ke dalam kancah kemelut ekonomi Eropah dan mungkin boleh mengheret dunia ke alam kemelesetan. Bagaimana boleh terjadi sedemikian dan kenapa Kesatuan Eropah (EU) lemah menangani masalah ini? Pilihan yang terbuka kepada Greece tidak banyak dan semuanya ada implikasi serius.

Kalau masalah Greece tidak diselesaikan, ekonomi Eropah boleh merudum dan tentunya Malaysia juga terasa tempiasnya.

Greece terperangkap dalam putaran ganas kemuflisan, daya saing dan kediri rendah serta kemerosotan ekonomi semakin mendalam. Masalah ini berpunca daripada pengurusan ekonomi lemah, rasuah dan perbelanjaan boros sehingga hutang negara mencecah 113 peratus. Defisit perbelanjaan kerajaan pula 13.6 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2009. Hutang negara ini dijangka naik sehingga 200 peratus dari KDNK tidak lama lagi. Kedudukan kewangan sektor awam menjadi genting sehingga pendapatan kerajaan (dari cukai dan hasil sebagainya) tidak cukup untuk membayar gaji kakitangan awam!

Hutang gergasi Greece sebanyak AS$400 billion telah dibiayai oleh bank-bank Perancis, United Kingdom, Amerika Syarikat (AS), Jerman dan bank-bank tempatannya sendiri melalui terbitan (penjualan) bon kerajaan Greece. Selalunya, bon kerajaan amat dipercayai dan dianggap tidak berisiko tinggi kerana kerajaan mempunyai keupayaan kewangan kukuh untuk membayar hutangnya.

Kebimbangan tentang keutuhan bon kerajaan mula muncul apabila Dubai yang dianggap kaya raya tidak dapat membayar hutangnya dan terpaksa minta pertolongan Abu Dhabi. Oleh kerana jumlah hutang terlalu besar dan pendapatan kerajaan kecil akibat pertumbuhan ekonomi rendah berikutan kelemahan ekonomi Eropah, ramai khuatir bahawa Greece akan default dan gagal membayar hutang bonnya. Jika ini berlaku, maka sistem kewangan dunia yang sudah lemah kerana baru sahaja dilanda teruk krisis kewangan global 2008/09, akan runtuh kerana bank-bank mengalami kerugian besar dan masyarakat umum hilang keyakinan yang boleh membawa kepada bank run. Jika bank muflis, kerajaan terpaksa mengambil alih dan dana besar diperlukan untuk memulihkan bank berkenaan.

Jika Greece tidak dapat membayar hutangnya, terdapat kebimbangan bahawa Itali, Portugal, Ireland dan Sepanyol yang juga mempunyai beban hutang besar mungkin akan gagal membayar hutang. Akhirnya, bank-bank utama Eropah yang memegang bon Greece dan negara-negara ini akan jadi muflis dan seterusnya membawa kepada kemusnahan sistem perbankan Eropah dan boleh jadi dunia juga. Oleh itu, Greece mesti diselamatkan bagi kebaikan semua pihak.

Cara EU dan IMF menyelamatkan Greece adalah dengan memberi pinjaman bagi membiayai operasi sektor awam dan untuk membayar hutang kerajaan Greece. Justeru, pada Mei 2010 EU dan IMF bersetuju menyediakan pakej penyelamat sebanyak €110 billion. Walaupun komitmen pinjaman diberi, keyakinan terhadap ekonomi dan sistem kewangan EU terus diragui. Pada Februari 2011 Menteri Kewangan EU telah menubuhkan Tabung Stabiliti Eropah bernilai €400 billion. Pinjaman pertama kepada Greece ternyata tidak cukup. EU terpaksa memberi talian hayat kepada Greece dengan pakej penyelamat kedua sebanyak €109 bilion pada Julai 2011.

Jimat cermat

Pinjaman ini diberi dengan syarat Greece melaksanakan langkah jimat cermat dan meningkatkan pendapatan kerajaan. Gaji dan pencen kakitangan awam dipotong, cukai dinaikkan, cukai baru diperkenalkan dan banyak projek diswastakan. Rakyat Greece menganggap langkah mengikat tali perut ini keterlaluan sehingga menyebabkan kesusahan amat sangat. Pekerja pengangkutan awam, pemandu teksi, kakitangan awam, guru dan pengawal trafik udara bertindak mogok. Ramai merusuh dan menunjukkan kemarahan dengan merosakkan harta awam.

Pinjaman yang diterima dan langkah jimat cermat ini tidak membuahkan sepenuhnya hasil yang dijangkakan. Pihak memberi pinjam iaitu EU dan IMF berpendapat program penjimatan tidak dilaksanakan dengan berkesan dan tidak mengikut jadual. Mereka mendesak wang pinjaman akan hanya diberi jika langkah penjimatan dan peningkatan pendapatan dijalankan dengan tegas dan cepat. Kerajaan Perdana Menteri George Papandreou tentunya sukar mematuhi desakan ini kerana program penjimatan menerima tentangan hebat daripada rakyat.

Akibatnya, ekonomi Greece terus meleset kerana pasaran tidak yakin bahawa ekonomi akan pulih. Bank-bank yang memegang bon kerajaan Greece mahukan bayaran dibuat segera. Rakyat negara yang memberi pinjaman terutamanya Jerman juga menentang kerana tidak mahu kerajaan mereka menggunakan dana awam untuk membantu negara lain walaupun ia ahli EU. Rakyat Jerman marah kerana wang dari titik peluh mereka digunakan untuk menyelamatkan negara lain yang boros berbelanja. Dana pinjaman Jerman untuk Greece perlu diluluskan oleh Parlimen negara itu. Canselor Angela Merkel terpaksa bertungkus lumus memujuk Parlimen Jerman untuk meluluskan usul tersebut.

Suasana di Greece memang muram. KDNK tahun ini dijangka menguncup sebanyak 6.3 peratus dan tahun depan (2012) akan terus menurun sebanyak 5.9 peratus. Kadar pengangguran akan melonjak kepada 17 peratus.

Apakah opsyen yang ada bagi Kerajaan Greece? Jawabnya tidak banyak. Menteri Kewangan Greece Evangelos Venizelos merungut bahawa negaranya telah “diugut dan dihina” serta menjadi “korban” ketidakcekapan EU. Manakala rakyat Greece pula menuduh kerajaan mereka menyerahkan kuasa mentadbir dan maruah negara kepada EU. IMF dan bank-bank mengenakan syarat-syarat yang tidak boleh diterima. Contohnya, sekarang ini rakyat Greece yang berpendapatan hanya RM20,000 setahun atau RM1,700 sebulan terpaksa membayar cukai pendapatan.

Opsyen pertama adalah bagi Greece melaksanakan langkah penjimatan lebih berkesan dan menerima syarat pinjaman tambahan yang perit terutamanya menaikkan cukai. Dengan ini, Greece boleh terus mendapat pinjaman dan boleh membayar hutangnya. Tetapi, opsyen ini boleh menyebabkan ekonomi Greece meleset lebih teruk kerana tidak ada program untuk mengembangkan ekonomi seperti pakej rangsangan melalui perbelanjaan sektor awam. Jika ini berlaku, pemulihan mengambil masa lama. Yang selamat adalah bank-bank memegang bon kerajaan Greece.

Opsyen kedua adalah Greece tidak membayar hutangnya iaitu default dan keluar dari EU. Setengah ahli ekonomi seperti Prof. Nouriel Roubini mencadangkan ini sebagai opsyen terbaik. Jika begitu, Greece dapat menurun kadar mata wangnya yang boleh meningkatkan eksport, menjalankan program rangsangan ekonomi dan meningkatkan daya saing. Apabila ekonomi berkembang, pendapatan kerajaan akan pulih dan hutang dapat dikurangkan.

Jika pilihan ini diambil, keyakinan terhadap ekonomi dan bank EU akan hancur sepenuhnya dan bank yang terdedah kepada hutang di EU akan muflis. Mata wang Euro juga mungkin akan berpecah kerana pasaran tidak mahu lagi memegang Euro. Ekonomi seluruh EU akan meleset, kecuali negara yang kukuh seperti Jerman.

Hutang

Opsyen ketiga ialah pengeluaran bon baru oleh kumpulan institusi kewangan antarabangsa untuk menggantikan bon kerajaan Greece. Opsyen ini telah diambil untuk menyelesaikan masalah hutang Argentina pada tahun 1990-an. Bon baru yang dinamakan “Brady Bond” dikeluarkan oleh Amerika Syarikat untuk menggantikan bon Argentina. “Brady Bond” adalah sempena nama Setiausaha Kewangan AS masa itu. Tetapi opsyen ini tidak boleh dibuat kerana ekonomi Greece lemah dan tidak boleh berkembang untuk membayar bon baru ini.

Penyelesaian masalah hutang Greece bukan hanya terletak di bahu negara itu sahaja. Ia memerlukan penyelesaian serantau (EU) dan masyarakat antarabangsa kerana dana yang diperlukan adalah amat besar. Menurut Pengarah Urusan IMF yang baru, Christine Lagarde, walaupun implementasi pakej penjimatan penting, pemulihan ekonomi hanya boleh dicapai jika hutang dikurangkan. Memang, punca masalah ini adalah keborosan kerajaan Greece tetapi bank-bank juga tidak boleh terlepas tanggungjawabnya. Mereka begitu ghairah memberi pinjaman tanpa meneliti risiko yang terlibat. Oleh itu, bank-bank perlu berkongsi kerugian dan mesti menerima jumlah pembayaran balik pinjaman yang lebih kecil.

Satu pengajaran penting dari pengalaman Greece ialah menyelesaikan hutang melalui pinjaman dari punca luar bukanlah satu penyelesaian kekal. Ekonomi sesebuah negara hanya boleh pulih dan terus maju jika ia ada daya saing dan asas mantap. Tanpa pertumbuhan ekonomi, masalah hutang negara akan datang semula. Dayang saing yang berasaskan produktiviti dan kadar mata wang yang realistik serta fleksibel penting untuk pertumbuhan ekonomi.

EU pula tidak boleh berlengah dan perlu menjalankan langkah pemulihan dengan segera dan tegas. Perbalahan dan ketidaktentuan akan membuatkan pasaran gusar dan hilang keyakinan. Progam baru untuk membantu bagi ahli-ahli EU yang bermasalah perlu diwujudkan dengan segera dan jumlah bantuan yang diperlukan mesti dibuat secara betul berasaskan maklumat tepat. Langkah pantas perlu diambil kerana jika tidak pelabur akan mengalihkan dana mereka keluar kepada pelaburan di tempat lain yang dianggap lebih selamat. EU juga perlu ada sumber secukupnya jika bank-bank mereka memerlukan suntikan dana dan penambahan modal terutamanya bagi kerajaan Itali dan Sepanyol yang kedudukannya tidak begitu mantap.

Krisis di Eropah ini menampakkan satu perubahan baru yang penting. Kali ini AS tidak mampu mengambil peranan sebagai penyelamat kerana ekonominya sendiri bermasalah. Sebaliknya, dunia beralih kepada kuasa baru iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) sebagai penyelamat baru. Setakat ini, BRICS masih lihat dan tunggu. Jika mereka menjadi penyelamat, ini merupakan fenomena unik kerana negara sedang membangun membantu negara maju. Yang jelas BRICS semakin berpengaruh di persada dunia. BRICS ada dana yang besar, pertumbuhan ekonomi tinggi, daya saing yang kuat, sumber yang banyak dan pasaran besar. BRICS juga berjaya mengharungi krisis global dengan baik dan ekonomi mereka pulih dengan cepat.

Secara kesimpulan, krisis hutang Greece bukan masalah negara itu sahaja. Dunia akan terjejas secara langsung dan tidak langsung apabila krisis di Greece menular ke negara lain dan kemelesetan merebak ke seluruh dunia.


Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin
ialah Ketua Eksekutif
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia.


sUMBER : Rencana 2/10/2011 Mingguan malaysia...